Sel kulit mati tidak sekata
RENDAH diri, malu, tertekan dan terasing antara perasaan yang dialami pesakit kulit psoriasis. Apabila penyakit menyerang, perasaan tidak mahu langsung berjumpa orang ramai membuak dalam diri.
Kulit pesakit akan menjadi berbintik atau membengkak, bertompok merah dan kulit pada bahagian berkenaan menebal serta keras. Ada kalanya tompokan sel ini berubah menjadi hitam akibat kehadiran melanin.
Dalam masa beberapa hari, kulit yang tebal menjadi tua dan apabila sel mati, ia tertanggal sendiri sebagai kepingan putih berkilat. Bahagian kulit yang tebal ini juga akan terasa gatal dan panas seolah-olah terbakar.
Perunding Dermatologi dan Pakar Bedah Laser, Dr Mohd Noh Idris, berkata psoriasis adalah penyakit kulit disebabkan proses penggantian kulit berlaku terlalu cepat, iaitu dalam masa tiga atau empat hari, berbanding individu normal yang mengambil masa lebih kurang 30 hari.
“Psoriasis ialah penyakit yang tidak boleh sembuh tetapi rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Adakala ia wujud dan sebaliknya. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu bapa menghidap penyakit sama, kebarangkalian anak mendapat penyakit itu mencecah 70 peratus.
“Kepala, siku, lutut, tubuh badan dan muka pula antara bahagian yang sering diserang psoriasis, malah dianggarkan 30 peratus penyebab kepada penyakit sendi,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Kulit miliknya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, punca sebenar psoriasis masih tidak diketahui hingga kini, tetapi ia dipercayai mempunyai komponen genetik tinggi.
Antara faktor lain menjadi penyebab psoriasis bertambah buruk ialah tekanan, berhenti mengambil kortikosteroid, pengambilan alkohol yang berlebihan, merokok, jangkitan, kecederaan kulit dan tindak balas terhadap bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu.
“Tahap jangkitan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke seluruh permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok bersisik dikenali sebagai plak psoriatik dan ia adalah bahagian keradangan dengan pengeluaran kulit berlebihan.
“Seterusnya, kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang ini serta mengakibatkan sel mati berwarna perak. Ia sering didapati di siku, lutut, tetapi juga boleh dijangkiti di mana-mana bahagian badan termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan,” katanya.
Sesiapa saja tanpa mengenal jantina dan umur boleh diserang penyakit ini. Begitupun, kebiasaannya ia berlaku buat pertama kalinya pada peringkat umur antara 15 hingga 25 tahun.
Luka radang pula boleh menimbulkan rasa pedih, gatal dan menyebabkan bahagian berkenaan kelihatan hodoh. Malah, psoriasis menggugat fizikal dan emosi pesakit.
Apabila ia berlaku, kulit menjadi merah, tebal (akibat berlebihan sel), keras dan menggelupas sebelum tanggal sebagai kepingan nipis berwarna putih keperangan.
Ia juga menyebabkan kulit menjadi gatal dan membuatkan pesakit sering menggaru hingga berdarah. Gejala ini juga bergantung kepada tahap dan bahagian yang diserang psoriasis.
Pesakit juga mungkin mengalami ketidakselesaan dan kecacatan fizikal yang kecil atau besar. Kegatalan dan kesakitan boleh mengganggu fungsi asas seperti penjagaan diri, berjalan dan tidur.
Pesakit psorisis juga alah kepada cahaya matahari. Jika terdedahkan, kulit akan menjadi merah jambu seperti warna ikan salmon manakala plak yang timbul pada bahagian tangan dan kaki juga mungkin menyebabkan pergerakan individu terbatas, terutama dalam bersukan, malah aktiviti riadah.
Plak yang tumbuh di bahagian kulit kepala pula boleh menjadi perkara memalukan disebabkan kepingan bersisik yang boleh menjadi kelemumur. Individu yang mengalami psoriasis mungkin berasa malu mengenai diri mereka dan mempunyai rasa rendah diri bimbang dijauhi masyarakat atau kebimbangan mengenai psikoseksual.
Kajian dilakukan Yayasan Psoriasis Kebangsaan Amerika Syarikat bersama 426 pesakit psoriasis pada 2008 menyatakan, 71 peratus menganggap penyakit ini menjadi masalah besar dalam kehidupan seharian mereka.
Pada masa sama, kajian berasingan melaporkan psoriasis juga memberi kesan terhadap kualiti kehidupan berasaskan kesihatan, terutama kepada 10 hingga 30 peratus pesakit, yang juga mungkin mengalami artritis psoriatik.
Dianggarkan 10 hingga 15 peratus pesakit muda mula mengalami masalah kulit sebelum berumur 10 tahun dan tahap serangan psoriasis ditentukan berdasarkan keadaan fizikal dan keluasan kulit yang mengalami keradangan.
Ia juga mengakibatkan kesan buruk terhadap penyakit kronik lain, misalnya kemurungan, bengkak jantung (myocardium infarction), hipertensi, kegagalan jantung kongestif atau kencing manis. Pesakit yang menghidapi psoriasis teruk juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih pendek.
Jelas Noh, ramai masih keliru dan takut terhadap penyakit ini walaupun sebenarnya, ia tidak berjangkit.
Katanya, orang ramai tidak perlu risau jika berdepan kawan atau saudara mara kerana mereka juga seperti individu lain.
“Psoriasis bukan penyakit berjangkit dan ini satu fakta penting yang perlu disebarkan kepada umum supaya tanggapan dan kebimbangan mengenai penyakit itu dapat diperbetulkan.
“Mengenai rawatan, pesakit biasanya hanya diberi krim bergantung kepada tahap penyakit masing-masing. Methotrexate, Neotigason, Cyclosporine and Calcipatriol adalah ubat krim yang biasa diberi kepada pesakit,” katanya.
Jenis psoriasis:
Paling lazim adalah psoriasis yang bertompok
Jenis teruk yang memerlukan rawatan di hospital dipanggil erythrodermic psoriasis
Lampin psoriasis
Pustular psoriasis
Guttate psoriasis
Plaque psoriasis